Monday, December 08, 2014

NOVEMBER YANG MENCABAR

Teks: Marlina Mahmud
Foto: Marlina Mahmud

Assalamualaikum pembuka coretan, semoga kalian semua beroleh keberkatan dan ketenangan oleh Yang Maha Pencipta.

Minggu ketiga diriku tidak mengadap laptop untuk meng”update” blog ini mahupun untuk urusan kerja. Banyak urusan dan ujian yang Allah berikan untuk diriku sepanjang tiga minggu tidak bersiaran. “Ya Allah, berikanlah diriku kekuatan untuk menghadapi dugaan dariMu sesungguhnya hambaMu ini lalai dan leka akan nikmat yang Engkau kurniakan”.

Kesihatan tubuh badan dan mempunyai waktu lapang yang terluang merupakan modal utama dalam kehidupan manusia. Namun, kesihatan dan waktu lapang ini merupakan dua nikmat kurniaan Allah s.w.t yang amat besar tetapi sering dilupakan oleh manusia. Diriku suka memetik sebuah hadis Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya tentang lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Terngiang-ngiang si telinga akan rangkap nasyid nyanyian Raihan akan hadis ini.

Berbalik kepada kisah diriku, Allah telah memberikan ujian sakit itu melalui anak- anak dan suamiku. Bulan November merupakan bulan yang penuh ujian buat kami sekeluarga. Bermula dengan demam yang dialami si kecil kerana tumbuh gigi, si abang sulung dan kakak yang mengalami muntah dan cirit birit, si Abang Ngah yang menanggung sakit gigi. Bilamana anak-anak tidak sihat, ibu bapalah orang yang paling tidak stabil kehidupan dan emosinya. Nikmat tidur di tolak tepi demi untuk memjaga anak-anak yang lebih memerlukan perhatian. Syukur ke hadrat Ilahi kerana tubuh ini masih kuat untuk menjalankan tanggungjawab terhadap mereka.

Kemuncak kepada kisah sakit ini bilamana suami tercinta dimasukkan ke Hospital KPJ kerana batuk teruk dan sakit perut. Setelah pelbagai ujian dijalankan, keputusan yang diperoleh agak memeranjatkan diriku dan suami apabila doktor mengesahkan terdapat cecair di sekeliling jantung yang mana keadaan ini amat jarang berlaku dan pihak Hospital KPJ menyarankan kami untuk merujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Bermacam-macam perkara bermain di kepalaku, diriku panjatkan doa kepada Allah agar kuatkan diriku agar bisa menjaga dan membantu suamiku. Runtun hatiku melihat berselirat wayar di tubuh suamiku, jika bisa sakit itu dipindahkan, biarlah aku yang menanggung sakit itu. Tidak sanggup untuk melihat orang disayangi menderita. Sesungguhnya diriku amat bertuah kerana urusan penjagaan anak-anak banyak dibantu oleh ibu mertua, adik-adik ipar dan juga pengasuh selama empat hari kami berkampung di PPUM. Lega hatiku apabila suamiku discaj dari wad tetapi risau kerana keputusan analisis terperinci masih belum diketahui. Sesungguhnya penantian itu amat memeritkan.


Cerita ketika dalam wad, diriku diuji dengan ketidaktentuan masa untuk mengepam susu buat bekalan si kecil di rumah bersama nenek. Sebanyak 12oz susu perahan terpaksa dibuang kerana basi memandangkan tiada tempat untuk menyimpan susu. Pek ais yang ada tidak mampu untuk bertahan melebihi 12 jam. Sakitnya hati ini bila mengenangkan susu yang dibuang. Rezeki susu anak tidak bisa dinafikan apabila diriku tergerak hati untuk bertanya pengurus Restoran Secret Recipe yang terletak di lobi Menara Utama PPUM untuk menumpang letak susu perahan di dalam peti sejuk restoran. Jika dikenakan bayaran sekalipunpun diriku sanggup asalkan susu itu tidak dibuang. sebelum itu, diriku telah meminta tolong adik iparku untuk membeli “cooler box” agar suhu sejuk susu dapat bertahan lama. Alhamdulillah, segala usaha membuahkan hasil.

Baru sempat dua hari kami sekeluarga bersenang lenang di rumah, si kecil pula mengalami demam panas dan dimasukkan ke wad di Hospital KPJ. Belum sempat bapanya sihat sepenuhnya, diriku berkampung pula di wad menjaga si kecil selama empat hari. Sukar untuk bergilir menjaga si kecil kerana dia menyusu badan sepenuhnya. Naluri seorang dapat merasakan anak-anak tidak puas untuk bersama ibu dan ayah, “Ibu minta maaf kepada anak-anak ibu yang lain kerana tidak dapat menjaga kalian di rumah. Ibu harus menjaga adikmu agar cepat sembuh”.  Di waktu yang kritikal begini, urusan kerja ditolak tepi, keluarga perlu diutamakan dan ketika inilah perasaan untuk berhenti kerja membuak-buak. “Ya Allah, Engkau istiqamahkanlah diriku dalam usaha untuk bekerja dari rumah”.


Terima kasih Allah dengan ujianMu ini menjadikan diriku dan keluarga lebih mengingatiMu.

Sampai di sini dahulu diriku berkongsi dengan kalian….

Wassalam

No comments:

Post a Comment