Teks:
Marlina Mahmud
Foto:
Marlina Mahmud
Assalamualaikum
pembuka coretan, semoga kalian semua beroleh keberkatan dan ketenangan oleh
Yang Maha Pencipta.
Minggu
ketiga diriku tidak mengadap laptop untuk meng”update” blog ini mahupun untuk
urusan kerja. Banyak urusan dan ujian yang Allah berikan untuk diriku sepanjang
tiga minggu tidak bersiaran. “Ya Allah, berikanlah diriku kekuatan untuk
menghadapi dugaan dariMu sesungguhnya hambaMu ini lalai dan leka akan nikmat
yang Engkau kurniakan”.
Kesihatan
tubuh badan dan mempunyai waktu lapang yang terluang merupakan modal utama
dalam kehidupan manusia. Namun, kesihatan dan waktu lapang ini merupakan dua
nikmat kurniaan Allah s.w.t yang amat besar tetapi sering dilupakan oleh
manusia. Diriku suka memetik sebuah hadis Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya
tentang lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum
miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Terngiang-ngiang si
telinga akan rangkap nasyid nyanyian Raihan akan hadis ini.
Berbalik
kepada kisah diriku, Allah telah memberikan ujian sakit itu melalui anak- anak
dan suamiku. Bulan November merupakan bulan yang penuh ujian buat kami
sekeluarga. Bermula dengan demam yang dialami si kecil kerana tumbuh gigi, si
abang sulung dan kakak yang mengalami muntah dan cirit birit, si Abang Ngah
yang menanggung sakit gigi. Bilamana anak-anak tidak sihat, ibu bapalah orang
yang paling tidak stabil kehidupan dan emosinya. Nikmat tidur di tolak tepi
demi untuk memjaga anak-anak yang lebih memerlukan perhatian. Syukur ke hadrat
Ilahi kerana tubuh ini masih kuat untuk menjalankan tanggungjawab terhadap
mereka.
Kemuncak
kepada kisah sakit ini bilamana suami tercinta dimasukkan ke Hospital KPJ kerana
batuk teruk dan sakit perut. Setelah pelbagai ujian dijalankan, keputusan yang diperoleh
agak memeranjatkan diriku dan suami apabila doktor mengesahkan terdapat cecair
di sekeliling jantung yang mana keadaan ini amat jarang berlaku dan pihak
Hospital KPJ menyarankan kami untuk merujuk ke Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM). Bermacam-macam perkara bermain di kepalaku, diriku panjatkan doa
kepada Allah agar kuatkan diriku agar bisa menjaga dan membantu suamiku. Runtun
hatiku melihat berselirat wayar di tubuh suamiku, jika bisa sakit itu
dipindahkan, biarlah aku yang menanggung sakit itu. Tidak sanggup untuk melihat
orang disayangi menderita. Sesungguhnya diriku amat bertuah kerana urusan
penjagaan anak-anak banyak dibantu oleh ibu mertua, adik-adik ipar dan juga
pengasuh selama empat hari kami berkampung di PPUM. Lega hatiku apabila suamiku
discaj dari wad tetapi risau kerana keputusan analisis terperinci masih belum
diketahui. Sesungguhnya penantian itu amat memeritkan.
Cerita
ketika dalam wad, diriku diuji dengan ketidaktentuan masa untuk mengepam susu
buat bekalan si kecil di rumah bersama nenek. Sebanyak 12oz susu perahan
terpaksa dibuang kerana basi memandangkan tiada tempat untuk menyimpan susu.
Pek ais yang ada tidak mampu untuk bertahan melebihi 12 jam. Sakitnya hati ini
bila mengenangkan susu yang dibuang. Rezeki susu anak tidak bisa dinafikan
apabila diriku tergerak hati untuk bertanya pengurus Restoran Secret Recipe
yang terletak di lobi Menara Utama PPUM untuk menumpang letak susu perahan di
dalam peti sejuk restoran. Jika dikenakan bayaran sekalipunpun diriku sanggup
asalkan susu itu tidak dibuang. sebelum itu, diriku telah meminta tolong adik
iparku untuk membeli “cooler box” agar suhu sejuk susu dapat bertahan lama.
Alhamdulillah, segala usaha membuahkan hasil.
Baru
sempat dua hari kami sekeluarga bersenang lenang di rumah, si kecil pula
mengalami demam panas dan dimasukkan ke wad di Hospital KPJ. Belum sempat bapanya
sihat sepenuhnya, diriku berkampung pula di wad menjaga si kecil selama empat
hari. Sukar untuk bergilir menjaga si kecil kerana dia menyusu badan
sepenuhnya. Naluri seorang dapat merasakan anak-anak tidak puas untuk bersama
ibu dan ayah, “Ibu minta maaf kepada anak-anak ibu yang lain kerana tidak dapat
menjaga kalian di rumah. Ibu harus menjaga adikmu agar cepat sembuh”. Di waktu yang kritikal begini, urusan kerja
ditolak tepi, keluarga perlu diutamakan dan ketika inilah perasaan untuk
berhenti kerja membuak-buak. “Ya Allah, Engkau istiqamahkanlah diriku dalam
usaha untuk bekerja dari rumah”.
Terima
kasih Allah dengan ujianMu ini menjadikan diriku dan keluarga lebih
mengingatiMu.
Sampai di sini dahulu diriku berkongsi
dengan kalian….
Wassalam