Tuesday, November 18, 2014

KERJA, SAHABAT DAN ANAK

Teks: Marlina Mahmud
Foto: Marlina Mahmud

Assalamualaikum pembuka entri, semoga kalian semua beroleh keberkatan dan ketenangan oleh Yang Maha Pencipta.

Entri hari ini akan berkisar pada cerita semalam. Alhamdulillah, diriku berkesempatan menghadiri satu mesyuarat di Senawang, Negeri Sembilan bertempat di pejabat lama diriku sebelum ini. Sebenarnya diriku agak kerap ke Senawang memandangkan pejabat operasi syarikat terletak di sana.

Menyusuri laluan di sepanjang Lebuhraya Elite dan PLUS dari Shah Alam ke Senawang dengan kelajuan kenderaan yang sederhana membolehkan diriku memerhatikan keadaan di kiri dan kanan lebuhraya. Sudah banyak kawasan yang sedang dalam pembangunan; perumahan, stesen minyak, depot Citylink (kurier servis) dan kilang. Jalan raya juga banyak yang sedang diperbaiki dan dinaik taraf. Melewati kawasan Nilai, teringat masa muda belia dahulu diriku membeli barang-barang kelengkapan perkahwinan di Nilai 3.

Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang satu jam setengah terasa pantas berlalu bilamana mata dijamu dengan pelbagai pemandangan pembangunan. Senawang juga tidak kurang hebatnya membangun, jika dahulu sewaktu diriku menetap di sana hanya mempunyai pasaraya besar Giant, tetapi kini Tesco Extra menjadi saingan.

Mesyuarat berlangsung dengan sempurna seperti yang dirancang dan tamat menjelang waktu makan tengahari. Lantas diriku menghubungi sahabatku yang berada di Seremban untuk bertemu muka memandangkan mesyuarat hanya berlangsung pada sebelah pagi. Seingat diriku, kali terakhir kami berjumpa sewaktu diriku tengah sarat mengandungkan anak keempat yang sekarang ini sudah menjangkau umur 7 bulan. Lama juga kami tidak bersua.

Kami berjumpa di Mariam Butik Cafe, butik kafe yang baru seminggu beroperasi. Butik pakaian dan tudung yang di dalamnya juga mempunyai tempat makan. Jadi, sambil menjamu mata, perut juga turut dijamu. Konsep butik kafe ini semakin menjadi “trend” di Senawang dan Seremban buat masa sekarang. Sebelum ini butik seperti ini terdapat banyak di Shah Alam. Memandangkan sudah lama tidak berjumpa, banyak sangat perkara yang dikongsikan, dari hal kerja sehinggalah perihal anak-anak, hampir tiga jam kami berceloteh. Sahabat saya ini bakal menjadi “Work At Home Mom” mulai tahun baru 2015 nanti bilamana dia ingin menumpukan sepenuhnya terhadap perniagaannya. Diriku amat cemburu dan akan berusaha ke arah itu juga. InsyaAllah. Setiap pertemuan akan ada perpisahan, tetapi sebelum itu sempat juga diriku menyambar sehelai skirt untuk dijadikan kenang-kenangan.

Diriku membelakangi kamera di Mariam Butik Cafe


Maka bermulalah misi memandu untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Sebelum memulakan perjalanan, segala kelengkapan untuk mengepam susu sudah disediakan dan di pasang ke badan. Mengepam susu sambil memandu sudah menjadi kebiasaan diriku memandangkan aktiviti ini akan menjimatkan masa dan mengurangkan rasa mengantuk ketika memandu. “Ya Allah, engkau permurahkanlah rezeki susu anakku dan cekalkanlah ibu ini dalam usaha menjayakan penyusuan susu ibu selama yang mungkin.” Itulah doa yang selalu diriku pohon dari Yang Maha Pemurah bila tiba waktu mengepam.



Alhamdulillah, inilah rezeki anak yang diriku peroleh ketika dalam perjalanan pulang semalam. Semoga mendapat berkat dari Yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment