Thursday, November 13, 2014

TERBAIK & PERCUMA - Susu Ibu

Teks: Marlina Mahmud

Assalamualaikum pembuka bicara, semoga kalian yang membaca entri ini mendapat manfaat dan beroleh kesejahteraan untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang penuh cabaran kini.

Diriku ini bukanlah pakar dalam penyusuan susu ibu tetapi adalah sedikit pengetahuan dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama. Walaupun anak sudah empat, diriku juga masih lagi dalam proses pembelajaran sesuai dengan kata-kata “tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad”.

Umum mengetahui ibu-ibu disarankan untuk menyusukan bayi sebaik sahaja proses kelahiran berlangsung. Walaubagaimanapun, persoalan mengapa para ibu digalakkan untuk menyusu bayi dengan susu badan dan bukannya susu formula menjadi tanda tanya.

Alhamdulillah, kita adalah manusia yang dijadikan oleh Allah swt sebagai khalifah di muka bumi ini. Kita dijadikan sebagai insan yang lemah ketika dilahirkan, dan berupaya untuk berdikari apabila meningkat dewasa. Kita amat bergantung kepada kasih sayang ibu dan bapa yang melahirkan dan membesarkan kita. Kasih sayang yang dicurahkan melalui penyusuan susu ibu, menjadi pengikat kasih yang kuat antara kita dengan ibubapa.

Persediaan untuk menyambut kehadiran orang baru dalam kehidupan pasangan suami isteri adalah suatu benda yang amat menggembirakan. Di sebalik kegembiraan itu, cabaran yang datang juga tidak kurang hebatnya. Ibu seharusnya mempersiapkan diri untuk menghadapi sakit bersalin sama ada secara normal mahupun pembedahan. Sewajarnya sebagai seorang ibu ataupun bakal ibu memberi pertimbangan kepada penyusuan susu ibu kerana ia memberi kebaikan kepada ibu dan anak. Penyusuan susu ibu mengandungi banyak kelebihan yang tersurat dan juga yang tersirat.

Susu ibu merupakan makanan dan minuman TERBAIK untuk bayi terutamanya pada enam bulan pertama usia bayi. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan bayi, susu pertama kental berwarna kekuningan dan ia dikenalikan sebagai kolostrum. Khasiatnya amat tinggi kerana kandungan proteinnya adalah tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia juga mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih yang mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.

Bercerita tentang penyusuan susu ibu, diriku suka untuk berkongsi dengan kalian akan apa yang terkandung di dalam Al-Quran berkaitan penyusuan susu ibu.

Ayat 233 surah al-Baqarah menyatakan:
“Para ibu hendaklah menyusu anaknya selama dua tahun yang lengkap untuk menjaga kemaslahatan bayi”.

Kita semua digalakkan memberi susu ibu sepenuhnya (tanpa makanan atau minuman tambahan) sehingga bayi berumur 6 bulan untuk mendapatkan segala kebaikan penyusuan susu ibu dan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.

Susu ibu adalah hak setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini. Ianya adalah pemberian Maha Pencipta  untuk anak-anak kita dan dikirimkan olehNya melalui ibu. Menyusukan anak adalah tugas yang murni, penting dan istimewa bagi seorang ibu. 

Diriku sendiri amat seronok bila dapat menyusukan anak, terasa ada pertalian yang kuat antara diriku dan anak. Apa lagi yang hendak dilakukan sewaktu berpantang selain dari berehat, menjaga dan menyusukan anak. Dengan memeluk anak kecil, dan mengalirnya air susu dari ibu kepada anak, maka kasih sayang juga turut mengalir. Oh, sungguh murni dan sucinya kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.

Susu Ibu Mampu Tingkatkan Kepintaran Bayi

Diriku percaya, semua ibu mampu untuk menyusukan si kecil selama yang mungkin dengan syarat sentiasa berusaha, istiqamah dan bertawakkal kepada Allah swt. Kelebihan dan kebaikan susu ibu yang tiada tandingannya ini tidak perlu dipersoalkan dan dibandingkan dengan susu formula di pasaran tambahan pula ianya adalah PERCUMA. Bersusah-susah sedikit tidak mengapa demi yang terbaik untuk si manja.

Semoga semangat mendalami ilmu penyusuan susu ibu akan dapat dipertingkatkan baik dari segi saintifik mahupun dari sudut syariahnya.


Sampai di sini dahulu diriku berkongsi dengan kalian…kita jumpa dalam entri akan datang ye… J

No comments:

Post a Comment