Showing posts with label Penyusuan Susu Ibu. Show all posts
Showing posts with label Penyusuan Susu Ibu. Show all posts

Thursday, November 20, 2014

SEGALANYA TENTANG POSISI DAN TEKNIK

Teks: Marlina Mahmud
Foto: Internet
Assalamualaikum.
Diriku doakan semoga kalian beroleh keberkatan dan rahmat dari Yang Maha Esa. Syukur pada-Mu Ya Allah kerana diriku masih diberi ruang dan peluang untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman berkaitan penyusuan susu ibu. Sesungguhnya ilmu-Mu Maha Luas terhadap sesuatu. Sebenarnya aktiviti mengepam susu sedang berlangsung sewaktu diriku menulis entri ini.
Hari ini, diriku ingin berkongsi tentang teknik dan posisi untuk menyusu. Untuk memastikan kejayaan penyusuan susu ibu, bayi perlu diletakkan dengan betul ke payu dara ibu. Kebiasaannya, posisi dan cara meletakkan bayi ke payu dara datang secara semulajadi tetapi terdapat ibu dan bayi yang memerlukan masa dan latihan terutamanya bagi ibu baru. Untuk melakukan dengan betul, teknik posisi & pelekapan bayi ke payu dara memainkan peranan yang penting.
Pelbagai posisi boleh dipraktikkan oleh ibu dengan asas yang sama mengikut keselesaan ibu dan bayi. Bayi seharusnya dipegang rapat ke arah badan dan payudara ibu dengan memastikan kepala dan badan bayi lurus. Badan dan punggung bayi seharusnya diampu kemas untuk memastikan bayi tidak terlepas. Beberapa posisi yang biasa adalah seperti “cradle position” (mendukung), “cross cradle position” (mendukung bersilang), “lying down position” (berbaring), “football hold” (duduk di bawah ketiak ibu).
Diriku pula lebih selesa dengan posisi mendukung (sejak dari lahir) dan berbaring. Walaubagaimanapun, diriku akan praktikkan posisi berbaring bila bayi sudah mencecah empat bulan ataupun sudah bisa meniarap atau memusingkan sendiri badannya. Ini kerana diriku takut terhempap bayi sewaktu tidur dan mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Posisi Penyusuan

Pelekapan mulut bayi ke payudara ibu memainkan peranan yang penting untuk memastikan kesejahteraan ibu dan bayi.


  • Pegang bayi rapat ke arah badan dan payu dara ibu.
  • Ibu dalam keadaan duduk atau baring mengiring dan bayi menghala kepada ibu.

·         Rapatkan bayi ke payu dara (bukan payu dara ke bayi). Rapatkan seluruh badan bayi ke dada bukan hanya bahagian kepala. Pastikan seluruh bahagian tampok hitam (areola) masuk ke dalam mulut bayi.

·  Anda boleh membantu bayi melekap dengan memegang payu dara dengan tangan. Pastikan ibu jari jauh dari areola dan tidak menekan payu dara.
Jika penyusuan berjalan lancar, puting ibu tidak mudah cedera ataupun melecet kerana puting berada jauh ke dalam mulut bayi. Kebanyakan masalah yang dialami ibu adalah kerana posisi dan cara pelekapan yang tidak betul. Antara tanda - tanda pelekapan yang tidak betul dan boleh mengakibatkan masalah semasa penyusuan; puting kelihatan leper semasa dikeluarkan dari mulut bayi selepas penyusuan dan puting akan terasa sakit semasa dan selepas penyusuan, ini adalah salah satu punca puting melecet. Kepada ibu-ibu, apabila pelekapan tidak berlaku dengan betul, penghasilan susu kurang berkesan dan boleh menyebabkan payu dara bengkak.
Pengalaman diriku sendiri, bengkak payudara ataupun bengkak susu menyebabkan diriku demam terutamanya ketika dalam pantang. Almaklumlah, ketika ini susu masih lagi meriah.


 Gambar menunjukkan bayi yang tidak melekap dengan betul. Ini boleh mengakibatkan masalah seperti kebengkakkan payu dara dan puting melecet.


Sebagai ibu, kita perlu pastikan mulut bayi terbuka luas dan memenuhi kawasan areola; hisapan bukan pada puting tetapi pada areola. Bayi akan menghisap, berhenti sejenak dan menghisap semula; hisapan secara perlahan dan dalam manakala ibu dapat mendengar bunyi bayi menelan susu. Teknik penyusuan yang betul memudahkan ibu dan mengenyangkan bayi.
Semoga perkongsian akan ini akan memberi manfaat kepada kalian.
Wassalam.


Friday, November 14, 2014

ANAK SIHAT IBU TERSENYUM

Teks: Marlina Mahmud

Alhamdulillah syukur bila kebanyakan ibu hari ini memilih susu ibu untuk anak-anak tersayang. Dalam penulisan sebelum ini, diriku ada menyentuh sedikit tentang kebaikan susu ibu untuk anak-anak kita. Antaranya adalah:
  • *  Susu ibu membekalkan nutrien yang terbaik dan yang amat kritikal untuk perkembangan otak dan ia membantu dalam meningkatkan kepintararan si manja. 
  • *    Ia mengandungi nutrien dalam kadar yang mencukupi di mana kandungannya berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar.
  • *    Susu ibu, terutamanya kolostrum , menguatkan sistem imuniti bayi anda Ia melindungi bayi dari jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
  • *    Susu ibu mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi kerana ia tidak mudah tercemar dibandingkan dengan cara penyusuan lain.
  • *    Susu ibu mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa. Oleh itu ia tidak susah untuk disediakan.
  • *    Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi melalui sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan anak di mana anak merasa selamat dalam pangkuan ibu.
  • *    Ia memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.

Selain anak, ibu juga bakal menikmati kebaikan melalui penyusuan susu ibu. Bagi ibu-ibu yang baru melahirkan, ia mampu membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin sama ada bersalin secara normal mahupun secara pembedahan. Melalui pengalaman diriku, kita dapat merasa rahim mengecut bilamana si manja menyusu.

Menyusukan si manja juga bisa membakar kalori si ibu, jadi tidak hairanlah ibu-ibu selepas berpantang berjaya menurunkan berat badan. Walau bagaimana pun keperluan ini juga bergantung kepada kadar metabolisma, berat badan dan juga aktiviti ibu. Diriku sewaktu melahirkan anak pertama berjaya mendapat berat ketika anak dara memandangkan ketika itu umur masih muda dan metabolisma diri juga tinggi. Selain itu, penyusuan susu ibu juga dapat mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari.

Semoga semangat mendalami ilmu penyusuan susu ibu akan dapat dipertingkatkan baik dari segi saintifik mahupun dari sudut syariahnya.

Sampai di sini dahulu diriku berkongsi dengan kalian….


Wassalam

Thursday, November 13, 2014

TERBAIK & PERCUMA - Susu Ibu

Teks: Marlina Mahmud

Assalamualaikum pembuka bicara, semoga kalian yang membaca entri ini mendapat manfaat dan beroleh kesejahteraan untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia yang penuh cabaran kini.

Diriku ini bukanlah pakar dalam penyusuan susu ibu tetapi adalah sedikit pengetahuan dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama. Walaupun anak sudah empat, diriku juga masih lagi dalam proses pembelajaran sesuai dengan kata-kata “tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad”.

Umum mengetahui ibu-ibu disarankan untuk menyusukan bayi sebaik sahaja proses kelahiran berlangsung. Walaubagaimanapun, persoalan mengapa para ibu digalakkan untuk menyusu bayi dengan susu badan dan bukannya susu formula menjadi tanda tanya.

Alhamdulillah, kita adalah manusia yang dijadikan oleh Allah swt sebagai khalifah di muka bumi ini. Kita dijadikan sebagai insan yang lemah ketika dilahirkan, dan berupaya untuk berdikari apabila meningkat dewasa. Kita amat bergantung kepada kasih sayang ibu dan bapa yang melahirkan dan membesarkan kita. Kasih sayang yang dicurahkan melalui penyusuan susu ibu, menjadi pengikat kasih yang kuat antara kita dengan ibubapa.

Persediaan untuk menyambut kehadiran orang baru dalam kehidupan pasangan suami isteri adalah suatu benda yang amat menggembirakan. Di sebalik kegembiraan itu, cabaran yang datang juga tidak kurang hebatnya. Ibu seharusnya mempersiapkan diri untuk menghadapi sakit bersalin sama ada secara normal mahupun pembedahan. Sewajarnya sebagai seorang ibu ataupun bakal ibu memberi pertimbangan kepada penyusuan susu ibu kerana ia memberi kebaikan kepada ibu dan anak. Penyusuan susu ibu mengandungi banyak kelebihan yang tersurat dan juga yang tersirat.

Susu ibu merupakan makanan dan minuman TERBAIK untuk bayi terutamanya pada enam bulan pertama usia bayi. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan bayi, susu pertama kental berwarna kekuningan dan ia dikenalikan sebagai kolostrum. Khasiatnya amat tinggi kerana kandungan proteinnya adalah tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia juga mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih yang mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.

Bercerita tentang penyusuan susu ibu, diriku suka untuk berkongsi dengan kalian akan apa yang terkandung di dalam Al-Quran berkaitan penyusuan susu ibu.

Ayat 233 surah al-Baqarah menyatakan:
“Para ibu hendaklah menyusu anaknya selama dua tahun yang lengkap untuk menjaga kemaslahatan bayi”.

Kita semua digalakkan memberi susu ibu sepenuhnya (tanpa makanan atau minuman tambahan) sehingga bayi berumur 6 bulan untuk mendapatkan segala kebaikan penyusuan susu ibu dan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.

Susu ibu adalah hak setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini. Ianya adalah pemberian Maha Pencipta  untuk anak-anak kita dan dikirimkan olehNya melalui ibu. Menyusukan anak adalah tugas yang murni, penting dan istimewa bagi seorang ibu. 

Diriku sendiri amat seronok bila dapat menyusukan anak, terasa ada pertalian yang kuat antara diriku dan anak. Apa lagi yang hendak dilakukan sewaktu berpantang selain dari berehat, menjaga dan menyusukan anak. Dengan memeluk anak kecil, dan mengalirnya air susu dari ibu kepada anak, maka kasih sayang juga turut mengalir. Oh, sungguh murni dan sucinya kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.

Susu Ibu Mampu Tingkatkan Kepintaran Bayi

Diriku percaya, semua ibu mampu untuk menyusukan si kecil selama yang mungkin dengan syarat sentiasa berusaha, istiqamah dan bertawakkal kepada Allah swt. Kelebihan dan kebaikan susu ibu yang tiada tandingannya ini tidak perlu dipersoalkan dan dibandingkan dengan susu formula di pasaran tambahan pula ianya adalah PERCUMA. Bersusah-susah sedikit tidak mengapa demi yang terbaik untuk si manja.

Semoga semangat mendalami ilmu penyusuan susu ibu akan dapat dipertingkatkan baik dari segi saintifik mahupun dari sudut syariahnya.


Sampai di sini dahulu diriku berkongsi dengan kalian…kita jumpa dalam entri akan datang ye… J