Tuesday, November 11, 2014

SALAM PERKENALAN

Alhamdulillah, ucapan syukur ke hadrat Ilahi dari pasangan Mahmud Ab Hamid dan Siti Eshah Derahman, menimang cahaya mata yang keempat pada 31 Januari 1981. Puteri ketiga dalam keluarga pasangan ini diberi nama Marlina Mahmud. Bekerja sebagai seorang pemandu dan dibantu oleh isteri tercinta dengan mengambil upah menjahit di rumah tidak membataskan mereka membesarkan empat cahaya mata dengan penuh kasih sayang. Kami empat beradik diberi kasih sayang dan didikan yang terbaik dimana tiga daripada kami berjaya menlanjutkan pelajaran ke menara gading. Terima kasih emak dan ayah.

Mendapat pendidikan rendah dan menengah rendah di negeri Cik Siti Wan Kembang, berbekalkan keputusan PMR yang cemerlang, melayakkan diri untuk meneruskan persekolahan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Pulau Pinang, kemudian menyambung pelajaran di universiti di Gombak dan akhirnya dengan izin Allah berjaya bergelar graduan dan menjawat jawatan sebagai seorang Jurutera di sebuah syarikat swasta di Selangor yang beroperasi di Negeri Sembilan. Perjalanan hidup yang nampak biasa, tetapi penuh onak duri dimana hanya pengembara yang tahu rahsia di sebaliknya.

Alhadulillah, perkenalan selama tujuh tahun dengan Saifuddin Mohd diakhiri dengan ikatan perkahwinan pada 8 Feb 2008. Untuk tidak hidup berjauhan dengan suami, perkahwinan dijadikan alasan untuk memohon pertukaran jabatan yang beroperasi di Klang memandangkan pada ketika itu suami bertugas di Puncak Alam, Selangor. Hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, kami dikurniakan empat orang cahaya mata.

Jurutera adalah salah satu profession yang gah di mata masyarakat dan itulah jawatan pertama yang disandang oleh saya ketika masih bujang lagi. Ketika itu tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi suri rumah. Kalau duduk di rumah memang tiada pendapatan. Saya sendiri juga tidak mahu terus tidak bekerja setelah mendapat ijazah. Membesar dalam keluarga yang sederhana menjadikan saya kuat untuk terus bekerja untuk membantu emak dan ayah meniti usia tua mereka. Puas bila pendapatan bulanan bisa dihulurkan kepada mereka untuk membalas jasa mereka, misi mencari keberkatan dalam rezeki yang diperoleh. Bagi emak dan ayah pula, kalau sudah belajar sampai ke universiti mesti bekerja makan gaji dan sebolehnya menjadi penjawat awam sampai pencen.

Dikurniakan cahaya mata pertama pada 6 Disember 2008, merupakan cucu pertama bagi kedua-dua keluarga menyebabkan kami kerap berulang-alik ke Johor mahupun ke Kelantan untuk melepaskan rindu Atuk dan Nenek terhadap cucunya. Keperluan perjalanan harus dilengkapkan untuk memastikan keselamatan anak kecil dan kami pada tahap yang maksima. Ketika inilah saya mula berjinak-jinak dengan butik-butik barangan bayi secara “online” kerana pada saya ianya lebih mudah dan menjimatkan masa, semuanya boleh diselesaikan di hujung jari sahaja.

Saya percaya setiap ibu akan cuba untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka, begitu juga dengan saya. Kerjaya tidak mematahkan semangat saya untuk menyusukan anak dengan susu ibu secara ekslusif. Pelbagai bahan bacaan berkaitan penyusuan susu ibu dicari, dibaca dan dihadam untuk menambahkan ilmu di dada sejak mula mengandung lagi. Jawatan yang disandang memerlukan saya untuk bekerja di luar kawasan dan terpaksa meninggalkan anak bersama atuk dan nenek. Stok susu ibu seharusnya disediakan secukupnya untuk menampung keperluan anak semasa peninggalan ibu. Segala informasi berkenaan penyimpanan dan pengurusan stok susu dalam perjalanan dipelajari dan dipraktikkan. Saya amat berterima kasih kepada encik suami kerana memahami dan memberi sokongan yang padu dalam menjayakan misi penyusuan saya.  Di pejabat, saya menjadi tempat rujukan kawan-kawan yang seangkatan berkaitan susu ibu.

Sejak dari anak pertama, encik suami pernah bertanyakan saya tentang minat saya terhadap perniagaan, tetapi pada masa itu saya akan menjawab, “nanti saya akan fikirkan”. Tetapi mungkin kerana keadaan kerja tidak begitu memberi tekanan dan keadaan ekonomi juga memberikan pulangan yang baik, niat untuk berhenti kerja seolah-olah terpendam seketika. Tugas yang dipikul membolehkan saya untuk terbang ke luar negara agak kerap. Siapapun akan seronok jika peluang ini boleh digunakan untuk melihat negeri orang tanpa mengeluarkan modal sendiri. Indonesia, Vietnam, Thailand, India, China, UAE dan Norway adalah antara negara-negara yang pernah dijejaki tetapi Malaysia tetap di hatiku. Tambahan pula, masa untuk anak dan suami masih boleh diseimbangkan dengan kerjaya, jadi saya tidak begitu memikirkan untuk berhenti kerja. Saya mampu bertahan sehingga memiliki tiga anak.

Saya merasakan sayalah orang yang paling bertuah kerana tidak perlu menempuh kesesakan lalu lintas untuk ke tempat kerja dan hanya mengambil masa 15 minit untuk sampai ke pejabat termasuk menghantar anak-anak ke tadika. Mempunyai pengasuh yang dekat dengan rumah untuk menjaga anak-anak yang lain. Walaupun tidak mempunyai pembantu rumah, dengan bantuan pengasuh, yang lebih saya anggap sebagai kakak, saya tidak perlu risau jika saya perlu pulang lambat dari pejabat ataupun perlu outstation”. Walaubagaimanapun, setelah mendapat anak yang keempat dan kembali untuk bekerja, perasaan saya sedikit tertekan bilamana terpaksa meninggalkan anak-anak sama ada yang kecil mahupun yang besar seawal jam lima pagi untuk mengejar penerbangan pertama untuk “outstation”. Jadual saya telah dipadatkan untuk satu hari sahaja memandangkan anak yang kecil masih lagi menyusu badan yang pada ketika itu baru berusia empat bulan. Sayu  hati  bila  setiap  kali  nak  tinggalkan mereka walaupun bila ayah mereka ada. Ketika inilah perasaan untuk berhenti kerja membuak-buak.

Saya mula mencari idea dan alternatif untuk memulakan perniagaan sebagai persediaan untuk berhenti bekerja. Mana mungkin saya berhenti kerja semata-mata untuk duduk di rumah dan menjaga anak-anak. Sebagai ibu bekerjaya, saya juga mempunyai komitmen kewangan yang harus saya selesaikan. Dengan izin Allah, saya pergi mencari kelas menjahit dan belajar menjahit, dengan harapan jika saya berhenti kerja adalah sedikit ilmu yang boleh digunakan untuk menambah pendapatan. Saya sememangnya membesar dalam lingkungan jahitan kerana emak saya adalah tukang jahit sebelum beliau diserang angin ahmar. Dunia jahitan bukanlah dunia yang baru bagi diri saya, tinggal lagi bakat perlu diasah dan digilap dari semasa ke semasa.

Saya juga mula mencari peluang untuk memulakan perniagaan terutamanya barangan keperluan bayi, kanak-kanak dan ibu-ibu dengan menyertai program dropship kedai baby. Atas alasan itulah, saya mendaftarkan syarikat dengan nama Baby Moms World. Suami menjadi tempat rujukan memandangkan beliau sudah sepuluh tahun ke hadapan dalam bidang perniagaan walaupun berlainan bidang dan minat. Sokongan dan dorongan dari suami sangat-sangat membantu, sebagai langkah permulaan. Menyertai program dropship dan mendaftarkan syarikat semata-mata tidak akan dapat menghebahkan perniagaan kita kepada dunia luar. Hendak dihebahkan di “wall” facebook takut nanti di katakan berkawan atas sebab perniagaan sedangkan sebelum ini sekali setahun pun belum tentu saya “update” status.

Rencana Allah itu Maha Luas, pertama kali ditemukan dengan Puan Anys Idayu Zakaria di alam maya sewaktu mencari idea untuk memulakan perniagaan dari rumah. Ketika itu saya telah membeli pakej ebook panduan memulakan bisnes yang mengandungi ebook Asas Blog Penulisan, Panduan Perniagaan Butik dan 101 Idea Home Based Business. Ketika itu tidak terlintas di fikiran untuk berblog walaupun ebook sudah berada di tangan. Alhamdulillah, ditemukan kembali dengan Puan Anys sewaktu mencari-cari di alam maya berkaitan pemasaran melalui blog, lantas terus menghubungi beliau untuk mendapat informasi lebih lanjut mengenai blog untuk perniagaan.


Saya akan menjadikan ABDR sebagai platform untuk saya mencari ilmu mengenai bines online seterusnya membuka ruang untuk saya menjana pendapatan dari rumah sambil menjaga dan mendidik sendiri anak-anak, amanah Allah dunia dan akhirat. Bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru-guru yang lebih berpengalaman dapat dijadikan inspirasi dan panduan yang berguna di dunia dan akhirat yang kekal abadi. Terima kasih untuk semua yang sudi memberi tunjuk ajar dan menerima diri ini seadanya terutama cikgu Anys Idayu Zakaria.

No comments:

Post a Comment